March 15, 2011

Pelajar & Rakyat Malaysia Selamat

TOKYO: Dua pasukan peninjau dari Kedutaan Malaysia, di sini, sudah dihantar ke empat kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi kuat dan tsunami di timur Jepun, semalam bagi bertemu semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu.
Pasukan itu dijangka berada di empat kawasan iaitu Miyagi, Fukushima, Iwate dan Ibaraki.

Kawasan ini menempatkan 253 rakyat Malaysia dan daripada jumlah itu, 149 orang adalah pelajar.

Semua mereka ditempatkan di kawasan pemindahan sementara disediakan kerajaan Jepun bersama-sama warga tempatan dan mereka dilaporkan selamat.


Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som berkata, dua pasukan dihantar itu dijangka mengambil masa 26 jam untuk tiba di kawasan bencana berbanding lima jam sebelum ini.

Katanya, sebaik bencana berlaku, semua perkhidmatan pengangkutan awam dihentikan dan lebuh raya ditutup, selain talian telefon terputus.

“Pada masa itu talian Internet masih boleh digunakan, jadi pegawai kedutaan cuba menghubungi rakyat kita menggunakan laman facebook dan twitter,” katanya ketika ditemui di Kedutaan Malaysia di Shibuya, di sini, tengah malam kelmarin.

Menurutnya, pasukan berkenaan bertemu pelajar berdasarkan alamat diberikan sebelum ini bagi mengetahui keadaan sebenar dan keperluan mereka sebelum bantuan seterusnya dihulurkan.

“Setakat ini, semua pelajar dan rakyat kita berada dalam keadaan selamat, malah sedang berada bersama-sama rakyat tempatan di kawasan pemindahan yang disediakan.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan dan kematian berkaitan rakyat kita.

“Pasukan berkenaan juga membawa bersama makanan dan minuman yang mungkin diperlukan rakyat kita. Jika penilaian yang dibuat memerlukan kita memindahkan mereka, kita akan berbuat demikian, tetapi semua akan dibuat penilaian. Tempat pemindahan paling sesuai ialah di Tokyo. Kita sudah bersedia untuk berbuat demikian jika keadaan memerlukan,” katanya.

sumber: mymetro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...