KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati
kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik
yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet
2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.
Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan,
umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan
Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan
awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus
kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada
2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan
akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura
mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan
kakitangan awam.
Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan
RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk
pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam
menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.
Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di
negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di
samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku
terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan
beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang
kerjaya dan syarat perkhidmatan.
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara
menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma
sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.
Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada
kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini… sudah tiba masanya untuk
kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor
perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.
Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan
gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun
sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu
pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.
Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai
langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam
sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.
Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua
perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang
dikaji secara terperinci oleh JPA.
Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh
Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau
(Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment
1000 of thanks for your comments