March 11, 2013

BERITA BAIK Gaji, Elaun rumah dan COLA penjawat awam naik lagi?

SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sektor awam meletakkan harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan 'berita baik' menjelang tengah hari ini - antara dua hingga lima perkara penting termasuk imbuhan tetap perumahan dan kajian semula isu gaji maksimum. Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin sekurang-kurangnya akan ada dua pengumuman penting iaitu yang berkenaan dengan imbuhan tetap perumahan bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang menyentuh kepentingan sekitar 20,000 penjawat awam.

"Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini, kami yakin akan ada berita baik berkenaan dua perkara ini, kalaupun tidak kesemua lima perkara," kata pemimpin kanan Cuepacs.

Bagaimanapun kata pemimpin itu, "saya tidak melihat akan ada pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji telah dibuat tahun lalu."

Oleh itu katanya, "berita baik lebih kepada soal kajian semula elaun seperti imbuhan perumahan dan elaun sara hidup (Cola)."

Najib dijadual hadir Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) di Putrajaya hari ini.
Seorang lagi pemimpin kanan Cuepacs yang tidak mahu namanya dipetik berkata, kajian semula kaedah gaji maksimum dilihat antara perkara penting akan diumumkan oleh perdana menteri.

"Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya sekitar 20,000 kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai 1 Januari.

"Walaupun kesan pelaksanaan melibatkan 20,000 orang pada masa sekarang, tetapi dalam jangka panjang ia akan melibatkan kepentingan keseluruhan kakitangan awam," katanya.

Pemimpin itu juga tidak menolak kemungkinan Najib akan mengumumkan hasil kajian awal Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.

"Kemungkinan beberapa baik dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) (yang telah dibatalkan), seperti penyusunan semula gred akan diumumkan untuk pelaksanaan. Perkara baik dalam SBPA tak salah dikekalkan dan dilaksanakan," katanya.

Suruhanjaya itu yang dibentuk Mac 2012 dan bergerak sejak Jun lalu diberi masa enam bulan untuk membuat kajian.

Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Ia dibentuk susulan pembatalan pelaksanaan SBPA dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.

Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara tersebut merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam negara ini.

Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.

Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam, hari ini, perdana menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam.

"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif, kita sama-sama tunggu.

"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.

Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.

Pemimpin-pemimpin Cuepacs juga menjangkakan pengumuman menarik mengambil kira pemberian insentif kepada kakitangan Kastam Diraja Malaysia, yang diumumkan akhir Januari lalu.
Warga agensi itu akan menerima insentif setengah bulan gaji sebagai penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun lepas, iaitu peningkatan 6.5 peratus berbanding 2011.

"Keseluruhan nampak ada kelainan kali ini. Jadi, kakitangan agensi lain juga mengharapkan sesuatu... kajian semula elaun ini antara yang penting," katanya.

Cuepacs memohon agar kerajaan menyeragamkan kadar Cola tidak kira zon. Begitu juga imbuhan tetap perumahan yang dilihat rendah mengambil kira kos hidup dan kadar sewa rumah yang semakin meningkat.

sumber

No comments:

Post a Comment

1000 of thanks for your comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...