Akhir-akhir ini
masyarakat dunia heboh memperkatakan tentang tarikh berlakunya hari kiamat. Di
ruang internet, malahan televisyen, sibuk memperkatakan bahawa kiamat akan
berlaku pada hari ini iaitu Jumaat bertarikh 21.12.2012. Maka khutbah pada hari
ini akan mengulas berkaitan dengan hal ini.
Tarikh 21.12.2012
disebut-sebut, akan menjadi tarikh yang menakutkan kerana pada tarikh inilah,
kiamat akan berlaku. Tarikh ini pada asalnya disandarkan pada satu kalendar
masyarakat Mayan yang hidup satu ketika dulu di selatan Mexico. Mereka
dikatakan menguasai ilmu falak sehingga telah meninggalkan banyak hasil
peradaban mereka terutamanya sistem kalendar yang digunakan. Menurut mereka
yang mendakwa telah mengkaji kalendar Mayan ini, kalendar ini ia akan tamat
pada tahun 2012. Tarikh 21.12.2012 pula ditetapkan sebagai permulaan berlakunya
satu perubahan besar pada alam ini dan ia ditafsirkan sebagai kemusnahan alam
ini atau berlakunya kiamat.
Cerita ini
kemudian ditokok tambah dengan kononnya NASA iaitu sebuah agensi angkasa di
Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa kemunculan sebuah planet bernama
NiBiru yang akan menghentam bumi pada hari ini. Dengan saiznya 20 kali ganda
dari planet Musytari ia sebuah planet yang sangat besar. Pada mulanya planet
ini dijangkakan akan menghentam bumi pada Mei 2003, tetapi setelah tiada apa
pun yang berlaku, tarikh itu dijangkakan pula akan berlaku pada hari ini 21
Disember 2012.
Begitu juga dengan
sebuah lagi berita yang dikaitkan juga dengan NASA, bahawa bumi ini akan
bergelap selama 3 hari, bermula 23, 24 dan 25 Disember 2012. Ini disebabkan
berlakunya “Penjajaran Alam Semesta“, di mana matahari dan bumi akan berada
pada satu garis lurus untuk pertama kalinya. Bumi akan berubah kedudukannya
berbanding sekarang. Seluruh alam akan menghadapi perubahan besar, dan kita
akan melihat dunia yang baru. Dunia gelap tanpa sinar, tanpa cahaya matahari.
Sebagai seorang
mukmin, kita telah diajarkan untuk menapis dan mempertimbangkan segala maklumat
yang diperolehi agar kesahihannya dapat disabitkan.
Dakwaan pertama
yang mengaitkan tarikh kiamat dengan kalendar Mayan sebenarnya timbul dari
penafsiran semata-mata. Ini kerana di dalam kalender tersebut tidak menyebutkan
pun bahawa dunia ini akan kiamat pada tahun 2012. Catatan di kalendar hanya
menyatakan tahun 2012 diletakkan sebagai tahun terakhir dalam pusingan
kalender tersebut. Ini bermakna bagi
tahun 2013 ia perlu dimulakan semula pada permulaan kalender seperti mana
kalendar-kalendar lain.
Dakwaan kedua yang
menyatakan bahawa planet Nibiru akan melanggar bumi juga merupakan satu dakwaan
yang tidak mempunyai sebarang asas. Jika fakta ini telah disandarkan kepada
NASA, pihak NASA telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bahawa mereka tidak
pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tersebut. Tambahan pula dengan saiz
Nibiru yang sangat besar iaitu 20 kali
ganda saiz Musytari, tidak munasabah sekiranya semua balai balai cerap dan
ratusan ribu ahli falak di seluruh dunia tidak dapat mengesan planet ini dengan
teleskop mereka. Apatah lagi dengan langit yang terbuka luas untuk sesiapa saja
meneropong dan mengkajinya.
Dakwaan ketiga
ialah berkaitan dengan bumi akan bergelap selama 3 hari, dan berita ini juga
disandarkan kepada NASA. Pihak NASA sekali lagi telah mengeluarkan kenyataan
bahawa NASA atau mana-mana organisasi astronomi tidak pernah mengeluarkan
kenyataan ini. Penjajaran planet-planet
yang dikatakan akan berlaku juga hanya merupakan khabar angin.
Berdasarkan kajian ahli-ahli falak, penjajaran ini tidak berlaku. Apa yang akan
berlaku pada 21 Disember ialah matahari akan berada di sebelah selatan pada
garis lintang 21 darjah yang menandakan peralihan musim luruh ke musim sejuk,
dan ia adalah satu fenomena biasa yang berlaku pada setiap tahun.
Berdasarkan beberapa hujah di atas maka dapat kita
simpulkan bahawa, berita peristiwa kiamat yang didakwa akan berlaku pada hari
ini, Jumaat 21.12.2012 adalah tidak berasas.
Menjadi salah satu
dari rukun iman, untuk setiap dari orang
Islam mempercayai akan berlakunya hari kiamat.
Menolak berlakunya hari kiamat akan menyebabkan gelincir iman seseorang
tersebut. Namun bilakah akan berlakunya hari kiamat.
Firman Allah
SWT dalam surah al-A’raf : 187 :
Bermaksud : “
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah
masa datangnya?" katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya
hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun Yang dapat menerangkan
kedatangannya pada waktunya melainkan dia. (huru-hara) hari kiamat itu amatlah
berat (menggerunkan makhluk-makhluk Yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak
datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu
seolah-olah Engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya
pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan
manusia tidak Mengetahui".
Ibn Kathir ketika
menghuraikan ayat di atas menyatakan bahawa Allah SWT mengarahkan Nabi SAW
menjawap persoalan bilakah berlakunya kiamat itu dengan menyatakan pengetahuan
bilakah kiamat itu hanyalah semata-mata berada di dalam pengetahuan Allah SWT.
Begitu juga
berdasarkan hadis dari Umar Ibn Khattab r.a, menyatakan ketika Jibril menemui
Baginda SAW dan bertanyakan tentang hari kiamat, dengan katanya :
Bermaksud : “
Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat? Baginda SAW menjawab : “ Tidaklah yang
ditanya itu lebih mengetahui dari yang bertanya.”
( Riwayat Muslim: Hadis no 12)
Dr. Said Ramadhan
al-Buti menyatakan bahawa :
“ Berhatilah-hatilah jika anda mendengar sesiapa yang
menetapkan tarikh dan masa datangnya kiamat. Ketahuilah bahawa dia sesungguhnya
telah dikongkong oleh kejahilan yang teramat sangat dalam agama.”
Antara pengajaran yang dapat diambil dari artikel ini:
1. Selepas ini, pasti akan ada lagi ramalan-ramalan berkaitan tarikh kiamat
yang akan tersebar. Namun mempercayainya dan menyebarkannya tanpa kita cermati
dan tapisi, akan memberikan kita saham dalam menyebarkan khabar angin. Kiamat
yang menjadi rukun Iman kita berdasarkan nas-nas yang jelas, akan bercampur
aduk dengan berita-berita yang tidak berasas seperti ini.
2. Berdasarkan sumber al-Quran, Sunnah dan kesepakatan para ulama, kiamat
akan berlaku setelah berlakunya beberapa alamat kecil dan besar . Khatib ingin
menyeru semua jamaah di sini, marilah kita mempelajari, membaca dan menghayati
alamat-alamat yang telah diberitahu dengan jelas dengan sumber yang paling
boleh dipercayai dari Allah dan RasulNya dengan penjelasan oleh para ulama.
Berpegang teguhlah kepadanya berbanding cerita-cerita mitos dan tahyul yang
disebarkan.
3. Ketika mana
kita sibuk berdebat mengenai tarikh kiamat, adakah kita pernah bertanyakan diri
kita, apa yang telah aku sediakan untuk menghadapi hari kiamat? Di samping
kiamat besar yang pasti akan berlaku, janganlah lupa bahawa kiamat kecil, iaitu
kematian juga sedang rapat mengekori kita
Sumber dari :
Ustaz Mohd Faizal Jani,
Pegawai Falak, Jabatan Mufti Perak
Pegawai Falak, Jabatan Mufti Perak
http://zarqali.blogspot.com/2012/12/khutbah-adakah-kiamat-akan-berlaku-pada.html#more
mati itu pasti, kiamat itu pasti... bila masanya, bagaimana keadaan kita waktu itu hanya Allah yg maha mengetahui..... tingkatkan amalan utk bekal kita bertemuNYA nanti...
ReplyDeletehajar: betul tu
ReplyDelete