December 22, 2011

Not dan syiling baru


KUALA LUMPUR: Mata wang RM20 kembali diperkenalkan dalam Siri Mata Wang Baru oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas lebih 16 tahun dihentikan pengeluarannya pada 1995.


Wang berwarna oren itu memaparkan ilustrasi dua spesies penyu yang hanya boleh ditemui di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Belimbing (Dermochelys coriacea) yang juga lambang hidupan laut tropika negara yang pelbagai serta berwarna-warni.

Siri Mata Wang Baru yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, meliputi siri wang kertas dengan reka bentuk baru membabitkan nota RM10, RM20 dan RM100 serta wang polimer RM1 dan RM5. Nota RM50 menggunakan reka bentuk sedia ada.


Semua mata wang kertas dan polimer ‘berwajah’ baru itu akan mula diedarkan pada separuh kedua tahun depan manakala syiling baru meliputi lima sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang dilancarkan Julai lalu akan mula diedarkan kepada orang ramai Januari depan.

Ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi yang menjadi nadi negara merupakan inspirasi serta ilham utama dalam reka bentuk wang kertas siri terbaru berkenaan.

Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, siri keempat wang kertas itu memaparkan ekspresi tradisional seni dan kraftangan, keajaiban alam, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi, manakala bahagian depan semua denominasi wang kertas pula mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, bunga raya dan corak songket kain tenunan tradisional.




Sempena pelancarannya, BNM mengeluarkan wang kertas peringatan bagi siri mata wang itu membabitkan pengeluaran 500,000 set koleksi dua wang kertas (RM1 dan RM5) yang dijual pada harga RM15, 500,000 koleksi wang kertas RM20 pada harga RM30 dan 50,000 set enam wang kertas (RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) yang dijual pada harga RM300.

Semua wang kertas peringatan berkenaan menggunakan nombor siri sama dan sah digunakan untuk sebarang transaksi. Bagi individu yang berminat, mereka boleh mendapatkan koleksi terhad itu di ibu pejabat BNM dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu mulai hari ini.

source: hmetro

2 comments:

1000 of thanks for your comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...