October 04, 2013

Kebaikan puasa di bulan Zulhijjah


Kita perlu menghayati ‘Roh Haji’ walaupun tidak ke Tanah Suci supaya beroleh ganjaran yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Allah Yang Maha adil dan Maha Penyayang tetap mahu seluruh umat Islam dapat manfaat di atas keutamaan jemaah yang telah dijemput khusus di Tanah Suci.

Kepada yang tidak dapat ke sana, Allah tidak pernah melupakan. Kita tetap diberi keutamaan. Kita masih tetap dituntut oleh Allah SWT supaya menghayati ‘Roh Haji’, kerana Allah tetap mahu mengurniakan pahala dan rahmat-Nya dengan syarat kita kekal mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
.
Pada sepuluh hari pertama Zulhijjah disamping memperbanyakkan berzikir, istighfar, doa dan sedekah, digalakkan juga mengerjakan puasa. Berpuasa setiap hari daripada 10 Zulhijjah seolah-olah berpuasa setahun dan berdiri mengerjakan solat setiap malam daripadanya sebanding dengan solat di malam Lailatulqadar.
.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sebarang hari pun yang lebih disukai Allah dimana seorang hamba beribadat di dalam hari-hari itu daripada ibadat yang dilakukannya di dalam 10 hari Zulhijah. Puasa sehari di dalam hari itu menyamai puasa setahun dan qiamulail (menghidupkan malam) di dalam hari itu seumpama qiamulail setahun.”
.
Diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a.,  Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
.
Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:  “Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di Hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah orang yang tidak mendapat bahagian kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah sebab ia mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.” (Riwayat Abu Dardaa.)
.
Puasa 1 – 10 Zulhijjah
.
HARI
PERISTIWA
KELEBIHAN PUASA
1 Zulhijjah
Allah mengampuni Nabi Adam di Arafah. Sesiapa yang berpuasa pada hari ini, Allah mengampuni dosanya.
2 Zulhijjah
Allah telah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkannya dari perut ikan nun. Sesiapa berpuasa pada hari ini, maka seperti orang yang beribadah dan berpuasa setahun tanpa melakukan maksiat.
3 Zulhijjah
Doa Nabi Zakaria diperkenankan Allah, Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.
4 Zulhijjah
Nabi Isa dilahirkan. Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan menghilangkan kesusahan, kemelaratan dan kefakirannya serta pada hari kiamat bersama orang yang baik, mulia dan terhormat.
5 Zulhijjah
Nabi Musa a.s. dilahirkan dan memuliakan munajatnya. Sesiapa berpuasa pada hari itu terlepas ia daripada sifat munafik serta seksa kubur.
6 Zulhijjah
Allah membukakan pintu kebaikan untuk Nabi-Nabi-Nya. Sesiapa berpuasa pada hari itu akan dipandang Allah dengan penuh rahmat dan kasih sayang serta tidak akan diazab.
7 Zulhijjah
Pintu neraka jahanam akan dikunci dan tidak dibuka sebelum berakhir hari ke-10 Zulhijjah. Sesiapa berpuasa pada hari ini, Allah menghindarkannya daripada 30 pintu kemelaratan dan kesukaran serta membuka 30 pintu kemudahan dan kesenangan.
8 Zulhijjah
Hari ini dinamakan  “Tarwiyah” (Hari berfikir).Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan. .Sesiapa berpuasa pada hari itu ia akan akan mendapat pahala yang tidak terhingga banyaknya kecuali Allah.
9 Zulhijjah
Hari ini dinamakan “Hari Arafah” (Hari tahu). Arafah bermakna tahu atau memahami.1. Di tempat inilah Nabi Adam a.s. mengerti jati dirinya.2. Pada hari ini Allah memberitahu Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan.3. Pada hari ini juga turunnya ayat al-Quran terakhir. .Sesiapa berpuasa pada hari itu akan diampunkan Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
10 Zulhijjah
Hari Raya Aidiladha, dinamakan juga Raya Korban dan hari “Nahar” (menyembelih). Haram berpuasa pada hari ini.Sesiapa berkorban dengan satu korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu, Allah akan mengampuni semua dosanya dan dosa ahli keluar-ganya.Dan sesiapa memberi makan orang mukmin atau bersedekah dengan satu pemberian, maka Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dengan selamat dan timbangannya pun menjadi lebih berat daripada Bukit Uhud..
.
Puasa Arafah
 
Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.

Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
.
Niat Puasa Hari Arafah;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Daku berniat puasa hari Arafah, sunat  kerana Allah Ta’ala.
.
Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
.
Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.

Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith: “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:  “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).
.
Pendapat Ulama Tentang Puasa Arafah
 
1.   Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”

2.  Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji.

3.  Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.
.
Haram Berpuasa


Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra:  “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.).
.
Puasa Tambahan
 
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.
.
Hadis riwayat Ibni Abbas: “Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”
 .
Bertapa besarnya keistimewaan dan kelebihan puasa yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini. Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang dan kesempatan ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya dengan melakukannya seikhlas hati.
.
Wallahu A’alam Bissowab

sumber 
 

August 07, 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri

July 22, 2013

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan izinNya, Hidayah Center Pulau Pinang sekali lagi akan menganjurkan Majlis Iftar Perdana Pulau Pinang (MIPHC) berjudul “JOURNEY to JANNAH” pada bulan Ramadhan ini. Inilah tahun ke-4 MIPHC akan diadakan di Pulau Pinang. Tahun ini, majlis ini sekali lagi akan diadakan di Komplek Tabung Haji Bayan Lepas pada 27hb Julai 2013, bersamaan 18 Ramadhan 1434 Hijrah. Tujuan utama majlis ini adalah untuk menjana dana untuk membolehkan operasi Hidayah Center dapat dijalankan di Pulau Pinang dengan lancar serta meraikan saudara baru yang telah kembali kepada Islam.

Sebagai permulaan, pihak kami ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang telah memberikan sokongan kepada kami pada MIPHC yang lepas dan kami amat berharap anda akan terus memberikan sokong kepada kami pada MIPHC tahun ini.

Hanya pada setiap kali Ramadhan, saudara baru akan lebih merasai nikmat berukhuwwah dengan saudaranya yang lain semasa berbuka puasa. Sebabnya? Kebanyakan mereka tersisih daripada keluarga dan mereka malu untuk menyuarakannya kepada kawan-kawan mereka. Apabila keadaan mendesak, mereka terpaksa mencari tempat untuk memohon perlindungan dan bantuan. Mereka perlukan bimbingan....mereka perlukan sokongan.....mereka perlukan wang untuk menyara diri dan keluarga... maka di manakah kita saat mereka memerlukan..??

Bantulah kami menguruskan saudara baru kita ini dengan menghulurkan sumbangan
Dengan ini, saya ingin menyeru pada tuan-tuan dan puan-puan untuk mengulurkan bantuan untuk mejayakan majlis ini. Dana yang diperolehi akan mempermudahkan lagi kami untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti Hidayah Centre. Kami sangat mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan serta keluarga ke majlis ini untuk meraikan saudara baru.

Anda hanya perlu masukkan duit itu kedalam akaun tertera di bawah dan maklumkan kepada saya maklumat transaksi untuk permudahkan kami rekod pembelian dan sumbangan yang diterima. Sila maklumkan pembelian kerusi/meja serta kehadiran anda kepada pihak kami.

HIDAYAH CENTRE 1211 3010 0494 33(Bank Islam Malaysia Berhad)

HIDAYAH CENTRE5622 0962 4421(Maybank Berhad)

PAKEJ MEJA @KERUSI

KOS PAKEJ MEJA

Pakej Meja : RM1,000 (10 kerusi)

Pakej Kerusi : RM100

Anda juga boleh memberikan sumbangan ikhlas anda kepada kami.

Untuk tempahan meja/kerusi dan sumbangan, anda juga boleh hubungi :

Sekretariat MIPHC PULAU PINANG 2013 :
PUAN NOOR : 013-489 4595CIK SYAFARAH : 019-544 4425 

Sebelum saya terlupa, tolong forwardkan email ini kepada rakan-rakan anda seramai mungkin. Semoga bantuan anda akan diberkati Allah dan diberi pulangan yang lebih lumayan di Dunia dan Akhirat. Amin.
"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui."Surah Al-Baqarah ayat 26.

July 08, 2013

Kelebihan bulan Ramadhan

  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :
(Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :

(Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.) 
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • - Apabila  dia berdiri maka berdoalah hamparannya :  (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani  tebal kepadanya di dalam syurga)
    • - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut  (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)


    • - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)


    • - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya:  ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)


    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
      • Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
      • Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)

    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam  syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya  hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat  dari pagi  hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang  salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
sumber

June 24, 2013

Nisfu Sya’ban

1. Dari Saidina Ali ra: Baginda Rasulullah SAW maksudnya:
Apabila datang malam Nisfu Sya’ban maka beribadahlah di malamnya dan puasalah di siang harinya sesungguhnya Allah menurunkan rahmatNya dan para Malaikatnya pada malam itu dan berkata siapa yang minta rezeki ku beri, siapa meminta keselamatan aku pelihara, siapa yang hendak sesuatu maka akan ku kabulkan sampai terbit fajar.

2. Dari Muaz bin Jabal, bersabda baginda Rasulullahu SAW maksudnya:
Pada malam Nisfu Sya’ban menurunkan Allah akan RahmatNya dan para malaikatnya maka mengampuni Allah akan dosa-dosa hambanya.

Diriwayatkan bahawa pemindahan semua perkara dari lau mahfuz pada malam Nisfu Sya’ban dan selesai pada malam Lailatul Qadar di serahkan urusan rezeki pada malaikat Mikail urusan perang/gempa/bencana pada malaikat Jibril , urusan amal pada Malaikat penghulu langit dunia dan urusan musibah pada malaikat maut.

3. Daripada Saidatina Aisyah  ra berkata:
Malam Nisfu Sya’ban aku terbagun dan Rasulullah SAW tidak ada di sampingku maka aku cari dan ternyata baginda ada di pekuburan sambil memandang ke langit kemudian berkata sungguh Allah menurunkan rahmatNya dan MalaikatNya ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampuni dosa hambanya 

4. Daripada Saidatina Aisyah  ra berkata:
Rasulullah SAW berdiri sembahyang dan kemudian sujud sangat lama sehingga aku menyangka beginda telah wafat. Was – was aku melihat sedemikian maka aku gerak-gerakan hujung kaki beliau maka bergeraklah.  Kemudian aku kembali ke rumah dan ketika beginda selesai dari sembahyang,  Baginda datang dan berkata: ” tahukah kamu malam apakah ini? 

Berkata Saidatina Aisyah  ra: Allah dan Rasulnya yang lebih tahu.

Berkata Rasulullah SAW : Malam ini adalah malam Nisfu Sya’ban sesungguhnya Allah swt memandang dan mengampuni hamba-hambaNya pada malam ini.

5. Dari Naufal Al Bakali bahawasanya:
Saidina Ali ra keluar rumah pada malam Nisfu Sya’ban dan memandang kelangit sambil berkata keluar pada malam Nisfu Sya’ban nabiullah Daud alaihissalam dan memandang kelangit dan berkata ‘Ya Allah sesungguhnya malam ini adalah malam mustajab do’a tidak berdo’a seseorang melainkan Engkau kabulkan’

6. Diriwayatkan dari Ka’ab Al Ahbar berkata: 
Sesungguhnya Allah Mengutus malaikat Jibril pada malam Nisfu Sya’ban ke syurga dan memerintahkan  dihiaskan syurga.  Allah melepaskan dari api neraka pada malam ini hambanya sebanyak bilangan bintang di langit, sebilangan hari dan malam di dunia, sebilangan daun-daun pepohonan, seberat gunung-gunung dan sebilangan pasir-pasir.

7. Pada malam Nisfu Sya’ban Allah menambahkan air Zam Zam.

Faedah amalan pada Nisfu Sya’ban

Disunatkan menghidupkan dan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan beribadah seperti sembahyang sunat tasbih, Baca Alquran, Berzikir, Selawat, dan Berdoa dengan niat:

1. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.

2. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.

3. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.

4. Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isyak berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.

Ya Allah,Ya Rahman,Ya Rahim..
Jika Engkau takdirkan panjang usiaku
Tetapkanlah aku di jalanMu
Agar aku istiqamah menjejaki keredhaanMu
Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuanMu.
Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi laranganMu.
Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…

Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...