June 14, 2013

Dua maut ribut di Pulau Pinang

PULAU PINANG 13 Jun - Sebanyak 21 kejadian ribut dilaporkan melanda beberapa kawasan di seluruh negeri ini menyebabkan dua maut dan sekurang-kurangnya lapan orang cedera parah.
Mereka yang maut dikenali sebagai Jahir Hussain Sulaiman, 40, pembantu pemandu lori yang dihempap pemancar tiang telekomunikasi di Jalan Macalister dan Wong Tze Chow, 33, maut akibat dihempap sebatang pokok di jalan berhampiran Empangan Air Itam. 

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapat laporan berkenaan kejadian ribut tersebut kira-kira pukul 6.45 petang.

Katanya, melalui laporan diterima, lapan kejadian berlaku di sekitar Timur Laut, dua di Seberang Perai Tengah, 10 di Seberang Perai Utara dan satu di bahagian barat daya.

“Bagaimanapun, kejadian yang paling teruk adalah di Jalan Macalister yang menyebabkan sebuah pemancar telekomunikasi jatuh dari atas sebuah bangunan dan menghempap beberapa kenderaan,’’ katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Dalam kejadian lewat petang itu, sebuah pemancar telekomunikasi setinggi hampir 20 meter yang terletak di atas Menara UMNO jatuh.

Sebanyak tujuh buah kenderaan rosak teruk akibat dihempap pemancar tersebut selain sebatang paip bawah tanah di jalan berkenaan juga pecah.

Hentakan tiang pemancar ke atas jalan raya turut menyebabkan terbentuk sebuah kawah air kecil.
Abdul Rahim dalam pada itu menambah, pihaknya meminta orang ramai agar tidak bimbang dan panik dengan kejadian berkenaan dan polis telah mengerahkan semua anggota termasuk di daerah-daerah untuk turun padang bagi memantau perkembangan kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd. Zain memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 6.55 petang mengenai kejadian di Jalan Macalister.

“Apabila tiba, sebuah pemancar telekomunikasi dilihat telah jatuh di atas jalan raya dan menghempap tujuh buah kereta serta sebuah lori. Kita sedang melakukan pembersihan dan punca kejadian dipercayai akibat angin kuat," ujarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...