June 24, 2013

Nisfu Sya’ban

1. Dari Saidina Ali ra: Baginda Rasulullah SAW maksudnya:
Apabila datang malam Nisfu Sya’ban maka beribadahlah di malamnya dan puasalah di siang harinya sesungguhnya Allah menurunkan rahmatNya dan para Malaikatnya pada malam itu dan berkata siapa yang minta rezeki ku beri, siapa meminta keselamatan aku pelihara, siapa yang hendak sesuatu maka akan ku kabulkan sampai terbit fajar.

2. Dari Muaz bin Jabal, bersabda baginda Rasulullahu SAW maksudnya:
Pada malam Nisfu Sya’ban menurunkan Allah akan RahmatNya dan para malaikatnya maka mengampuni Allah akan dosa-dosa hambanya.

Diriwayatkan bahawa pemindahan semua perkara dari lau mahfuz pada malam Nisfu Sya’ban dan selesai pada malam Lailatul Qadar di serahkan urusan rezeki pada malaikat Mikail urusan perang/gempa/bencana pada malaikat Jibril , urusan amal pada Malaikat penghulu langit dunia dan urusan musibah pada malaikat maut.

3. Daripada Saidatina Aisyah  ra berkata:
Malam Nisfu Sya’ban aku terbagun dan Rasulullah SAW tidak ada di sampingku maka aku cari dan ternyata baginda ada di pekuburan sambil memandang ke langit kemudian berkata sungguh Allah menurunkan rahmatNya dan MalaikatNya ke langit dunia pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampuni dosa hambanya 

4. Daripada Saidatina Aisyah  ra berkata:
Rasulullah SAW berdiri sembahyang dan kemudian sujud sangat lama sehingga aku menyangka beginda telah wafat. Was – was aku melihat sedemikian maka aku gerak-gerakan hujung kaki beliau maka bergeraklah.  Kemudian aku kembali ke rumah dan ketika beginda selesai dari sembahyang,  Baginda datang dan berkata: ” tahukah kamu malam apakah ini? 

Berkata Saidatina Aisyah  ra: Allah dan Rasulnya yang lebih tahu.

Berkata Rasulullah SAW : Malam ini adalah malam Nisfu Sya’ban sesungguhnya Allah swt memandang dan mengampuni hamba-hambaNya pada malam ini.

5. Dari Naufal Al Bakali bahawasanya:
Saidina Ali ra keluar rumah pada malam Nisfu Sya’ban dan memandang kelangit sambil berkata keluar pada malam Nisfu Sya’ban nabiullah Daud alaihissalam dan memandang kelangit dan berkata ‘Ya Allah sesungguhnya malam ini adalah malam mustajab do’a tidak berdo’a seseorang melainkan Engkau kabulkan’

6. Diriwayatkan dari Ka’ab Al Ahbar berkata: 
Sesungguhnya Allah Mengutus malaikat Jibril pada malam Nisfu Sya’ban ke syurga dan memerintahkan  dihiaskan syurga.  Allah melepaskan dari api neraka pada malam ini hambanya sebanyak bilangan bintang di langit, sebilangan hari dan malam di dunia, sebilangan daun-daun pepohonan, seberat gunung-gunung dan sebilangan pasir-pasir.

7. Pada malam Nisfu Sya’ban Allah menambahkan air Zam Zam.

Faedah amalan pada Nisfu Sya’ban

Disunatkan menghidupkan dan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan beribadah seperti sembahyang sunat tasbih, Baca Alquran, Berzikir, Selawat, dan Berdoa dengan niat:

1. Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.

2. Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.

3. Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.

4. Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isyak berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.

Ya Allah,Ya Rahman,Ya Rahim..
Jika Engkau takdirkan panjang usiaku
Tetapkanlah aku di jalanMu
Agar aku istiqamah menjejaki keredhaanMu
Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuanMu.
Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi laranganMu.
Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…

Amin.

June 21, 2013

Larangan berpuasa pada hari-hari tertentu

Menurut hukum Islam, ada beberapa hari yang tertentu, yang dilarang mengerjakan puasa padanya, seperti berikut:

Puasa Pada Kedua-dua Hari Raya
Alim ulama' rahimahumullah., telah ijma' (sekata) tentang haramnya berpuasa pada kedua-dua hari raya iaitu hari raya "Aidilfitri" dan hari raya "Aidiladha" - sama ada puasa wajib atau puasa sunat.
Dalilnya ialah hadith yang berikut: 

35- عَنْ أَبِي عُبَيْدٍ قَالَ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ هَذَانِ يَوْمَانِ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صِيَامِهِمَا يَوْمُ فِطْرِكُمْ مِنْ صِيَامِكُمْ وَالْيَوْمُ الْآخَرُ تَأْكُلُونَ فِيهِ مِنْ نُسُكِكُمْ. (رواه البخاري)

35- Dari Abu `Ubayd, katanya: Aku telah hadir merayakan hari raya bersama-sama dengan Saiyidina `Umar bin al-Khattab r.a., lalu ia berkata:  "Hari raya ini dan hari raya yang satu lagi, Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidiladha untuk kamu makan dari daging korban kamu."(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
__________________________
1. Fath al-Bari (5:142).

Ditegaskan lagi dalam sebuah hadith yang antara lain seperti berikut:
 

36- أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْفِطْرِ وَيَوْمِ النَّحْرِ. (رواه مسلم)

36- " .. Bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa pada dua hari, iaitu: "Hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha."(1) (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadith sahih yang lain, diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, rahimahumallah., dari Ibn `Umar r.a., bahawa seorang lelaki telah datang bertanya kepada Ibn `Umar, katanya:

"Saya telah bernazar untuk berpuasa sehari, kebetulan hari itu jatuhnya pada hari raya puasa atau pada hari raya haji,  (bagaimana hukumnya)?"

Ibu `Umar menjawab: 

أَمَرَ اللهُ بِوَفَاءِ النَّذَرِ وَنَهَي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ هَذَا الْيَوْمِ.

"Allah Taala telah perintahkan supaya (orang yang bernazar) menyempurnakan nazarnya dan Rasulullah s.a.w. pula telah melarang (umatnya) daripada berpuasa pada hari yang tersebut."(2)
_____________________________
1. Ittihaf Ahl al-Islam (250).
2. Kitab yang sama (251).

Puasa Pada Hari-hari Tasyriq 
Hari-hari tasyriq (أيام التشريق) ialah tiga hari yang mengiringi hari raya haji iaitu hari yang kesebelas, kedua belas dan ketiga belas.
Dalam masa inilah orang-orang yang mengerjakan ibadat haji - berhimpun di "Mina".
Larangan berpuasa pada ketiga-tiga hari yang tersebut ada diterangkan dalam hadith yang berikut:

37- عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أُنَادِيَ أَيَّامَ مِنًى إِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ فَلَا صَوْمَ فِيهَا يَعْنِي أَيَّامَ التَّشْرِيقِ. (رواه الإمام أحمد)

37- Dari Sa'ad bin Abi Waqas r.a., katanya: "Aku telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. supaya menyeru semasa (orang ramai sedang berhimpun) di "Mina" bahawa masa yang tersebut ialah khusus (untuk kamu) menikmati makan minum (dengan gembira) dan tidak di tuntut berpuasa padanya, yakni hari-hari tasyriq yang termaklum."(1)
(Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad)
____________________________
1. Nail al-Autar (4:277).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

38- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ حُذَافَةَ يَطُوفُ فِي مِنًى أَنْ لَا تَصُومُوا هَذِهِ الْأَيَّامَ فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. (رواه الإمام أحمد)

38- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abdullah bin Huzafah menyeru di merata-rata tempat, di "Mina", katanya: "Janganlah kamu berpuasa pada (ketiga-tiga) hari tasyriq ini, kerana ditentukan untuk kamu menikmati makan minum (dengan gembira) dan untuk kamu mengingati Allah Azza wa Jalla (dengan takbir dan tahmid)".(1) (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Larangan yang tersebut adalah larangan haram.
___________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (10:144), hadith ini 'sanad'nya jayyid (elok).

Puasa "Hari Syak"
 
Hari "syak" juga dilarang berpuasa padanya. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

39- عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه أبو داود والترمذي)

39- Dari `Amar bin Yasir r.a., katanya: "Barangsiapa berpuasa pada hari yang diragukan maka sesungguhnya ia telah menderhaka kepada (Rasul Allah) Aba al-Qasim s.a.w."(1)
(Hadith Hasan Sahih - Riwayat  Abu Daud dan Tirmizi)

"Hari syak" atau "hari yang diragukan" yang tersebut ialah hari yang ketiga puluh dan bulan Sya'ban yang tidak diketahui dengan jelas sama ada ia dan bulan Ramadhan atau dari bulan Sya'ban, kerana rukyah mengenainya (yang diperkatakan orang pada 29 Sya'ban) tidak sabit atau saksi yang melihatnya tidak diterima pengakuannya oleh pihak yang berkuasa disebabkan fasiknya dan sebagainya.

Larangan yang tersebut haram hukumnya dan tidak sah puasanya.(2)

Dalam pada itu ada pengecualian, iaitu kalau seorang pada hari itu mengerjakan puasa qadha atau puasa nazar,  maka yang demikian tidak dilarang.

Demikian juga kalau ia biasa mengerjakan puasa sunat yang tertentu seperti "puasa hari Isnin" dan kebetulan jatuhnya pada "hari syak" yang tersebut maka itu tidak dilarang.

Yang dilarang ialah mengerjakan puasa yang tidak bersebab atau "Hari syak" itu diniatkan dari bulan Ramadhan. 
____________________________
1. Riyad al-Salihin (447) dan `Ibanat al-Ahkam (1:368) "Aba al-Qasim" (Bapa kepada al-Qasim) yang tersebut dalam hadith ini ialah gelaran Rasulullah s.a.w., kerana salah seorang dari putera-putera Baginda bernama "al-Qasim".
2. Sabil Al-Muhtadin (2:142).

Puasa hari Jumaat
Dilarang juga berpuasa (puasa sunat) pada hari Jumaat jika tidak disertakan dengan berpuasa sehari sebelumnya iaitu hari Khamis atau sehari selepasnya, iaitu hari Sabtu.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

40- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يَوْمُ عِيدٍ فَلَا تَجْعَلُوا يَوْمَ عِيدِكُمْ يَوْمَ صِيَامِكُمْ إِلَّا أَنْ تَصُومُوا قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ. (رواه الإمام أحمد)
40- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebenarnya hari Jumaat ialah hari raya (mingguan), maka janganlah kamu jadikan hari raya kamu itu hari puasa kamu, kecuali kalau kamu berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."(1)
(Riwayat Imam Ahmad)

Larangan yang tersebut ialah larangan makruh. 

Di dalam hadith ini diterangkan dengan jelas sebab larangan itu:

Bahawa hari Jumaat ialah hari raya mingguan dan lazimnya tidak dituntut berpuasa pada hari yang dimuliakan sebagai hari raya.
_________________________
1. Al-Fath al-Rabbani (10:148). Hadith ini disahihkan oleh al-Hakim.

Puasa hari Sabtu
 
Makruh juga hukumnya berpuasa (puasa sunat) pada hari Sabtu jika tidak disertakan dengan berpuasa pada hari Ahad.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya, maksudnya: "Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu, kecuali puasa yang diwajibkan atas kamu .." (1)

Yakni kecuali puasa qadha dan puasa nazar.  (Demikian juga halnya puasa sunat yang biasa dilakukan dan secara kebetulan jatuhnya pada hari Sabtu, maka ia juga dikecualikan dan larangan itu).(2)
_______________________________
1. Fiqh al-Sunnah (1:446), hadith ini Hadith Hasan, menurut Imam Tirmizi.
2. Kitab yang sama (1:446).

Hukum Isteri Mengerjakan Puasa Sunat Dengan Ketiadaan Izin Suami
 
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

41- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ. (رواه البخاري ومسلم)
41- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak halal bagi seseorang perempuan mengerjakan puasa sunat sedang suaminya ada bersama melainkan dengan izinnya".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa haram atas isteri mengerjakan puasa sunat melainkan dengan izin suaminya, kecuali kalau suaminya tidak ada bersama - kerana pergi keluar negeri maka ia boleh mengerjakan puasa sunat dan tidak memerlukan izin suaminya.

Jelasnya hak suami adalah satu perkara yang wajib dan tidak boleh dicuaikan kerana melakukan suatu yang sunat. 
_______________________
1. Al-Fath al-Rabbani (10:66). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya.

Hak Isteri Terhadap Suaminya
 
Suami pula bertanggungjawab menyempurnakan hak isterinya dan dilarang mengerjakan puasa sunat yang berlebihan yang akan menyebabkan dia mencuaikan hak isterinya.

Masalah ini diterangkan dalam sebuah Hadith Sahih riwayat Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. mendapat tahu perihal seorang sahabat Baginda iaitu Abdullah bin `Amru r.a., mengerjakan "puasa sunat" pada tiap-tiap hari sepanjang masa dan ia pula berjaga malam mengerjakan "sembahyang sunat".

Setelah Baginda bertanya, Abdullah mengaku,  lalu Baginda melarangnya berbuat demikian dan menegaskan lagi, sabdanya:

42- صُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا. (رواه البخاري)

42- "Berpuasalah engkau (pada hari-hari yang tertentu) dan berbukalah (pada hari-hari yang lain), demikian juga kerjakanlah sembahyang sunat (pada sebahagian malam) dan tidurlah (pada sebahagian lagi), kerana sesungguhnya tubuhmu ada haknya yang wajib engkau tunaikan, matamu ada hak yang wajib engkau tunaikan, isterimu ada haknya yang wajib engkau tunaikan dan tetamumu juga ada haknya yang wajib engkau tunaikan .."(1)(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Dalam hadith ini Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa menggunakan cara yang sederhana dalam segala hal dan dalam masa kita mengerjakan amalan yang sunat,  jangan pula kita melupakan perkara yang wajib. 
_________________________
1. Riwayat Bukhari dari Abdullah bin `Amru r.a., Fath al-Bari (5:121).

sumber

June 14, 2013

Dua maut ribut di Pulau Pinang

PULAU PINANG 13 Jun - Sebanyak 21 kejadian ribut dilaporkan melanda beberapa kawasan di seluruh negeri ini menyebabkan dua maut dan sekurang-kurangnya lapan orang cedera parah.
Mereka yang maut dikenali sebagai Jahir Hussain Sulaiman, 40, pembantu pemandu lori yang dihempap pemancar tiang telekomunikasi di Jalan Macalister dan Wong Tze Chow, 33, maut akibat dihempap sebatang pokok di jalan berhampiran Empangan Air Itam. 

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapat laporan berkenaan kejadian ribut tersebut kira-kira pukul 6.45 petang.

Katanya, melalui laporan diterima, lapan kejadian berlaku di sekitar Timur Laut, dua di Seberang Perai Tengah, 10 di Seberang Perai Utara dan satu di bahagian barat daya.

“Bagaimanapun, kejadian yang paling teruk adalah di Jalan Macalister yang menyebabkan sebuah pemancar telekomunikasi jatuh dari atas sebuah bangunan dan menghempap beberapa kenderaan,’’ katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Dalam kejadian lewat petang itu, sebuah pemancar telekomunikasi setinggi hampir 20 meter yang terletak di atas Menara UMNO jatuh.

Sebanyak tujuh buah kenderaan rosak teruk akibat dihempap pemancar tersebut selain sebatang paip bawah tanah di jalan berkenaan juga pecah.

Hentakan tiang pemancar ke atas jalan raya turut menyebabkan terbentuk sebuah kawah air kecil.
Abdul Rahim dalam pada itu menambah, pihaknya meminta orang ramai agar tidak bimbang dan panik dengan kejadian berkenaan dan polis telah mengerahkan semua anggota termasuk di daerah-daerah untuk turun padang bagi memantau perkembangan kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd. Zain memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira pukul 6.55 petang mengenai kejadian di Jalan Macalister.

“Apabila tiba, sebuah pemancar telekomunikasi dilihat telah jatuh di atas jalan raya dan menghempap tujuh buah kereta serta sebuah lori. Kita sedang melakukan pembersihan dan punca kejadian dipercayai akibat angin kuat," ujarnya.

June 10, 2013

Kelebihan bulan Sya'aban

 


Ketika Syaaban, Saidatina Aisyah r.a. menyatakan  Rasulullah SAW banyak berpuasa dan memperbanyakkan amal kebajikan dan ibadat kerana dalam bulan Syaaban adalah sebagai latihan melawan nafsu untuk menuju kepada ujian yang lebih besar iaitu bulan Ramadan.
Berikut ana catatkan ringkasan amalan-amalan dan puasa sunat yang boleh dilakukan dalam bulan Syaaban. Sesamalah kita sedaya upaya cuba mengamalkannya..

Amalan-Amalan Sunat Dalam Bulan Syaaban


Amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
  • Berpuasa sunat.
  • Berdoa, zikir, selawat dan bertaubat.
  • Perbanyakkan amalan takwa.
  • Solat lima waktu secara berjemaah.
  • Banyakkan solat sunat terutama solat malam.
  • Melakukan amal kebajikan.
  • Memohon keampunan ibu bapa.
  • Menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa.
  • Bersedekah kepada golongan yang memerlukan.
  • Berusaha mendapatkan keredaan Allah pada segala amal kebajikan.
  • Memohon semoga terhindar daripada segala bencana, dan malapetaka.
  • Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat seperti membaca Al-Quran, bertaubat, beristighfar dan berzikir.
Puasa Syaaban Dan  Fadilatnya

Nabi Muhammad SAW ditanya oleh Usamah bin Zaid mengapa Rasulullah SAW melebihkan berpuasa pada Syaaban.

Baginda SAW menjawab dengan sabdanya: “Bahawa Syaaban ialah bulan yang selalu diabaikan oleh manusia, sedangkan pada Syaaban semua amalan manusia diangkat ke hadrat Allah. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sewaktu aku dalam keadaan berpuasa.”   (Hadis Riwayat oleh An-Nasa’i dan Ahmad.)

Berpuasa dalam bulan Syaaban selain menjadi persediaan untuk melakukan ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan, ia juga mempunyai kelebihan, antaranya:

1.   Berpuasa sehari.
a.  Diharamkan Allah tubuhnya daripada api neraka.
b.  Dimasuk syurga
c.  Menjadi rakan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga.
d.  Dianugerahi seperti pahala Nabi Allah Ayub a,s,  dan Nabi Daud a.s.

2.   Berpuasa tiga hari pada permulaan, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban.

a.  Mendapat pahala 70 orang nabi,
b.  Seperti orang beribadah 70 tahun .
c.  Jika mati pada tahun itu seperti mati syahid.

3.  Berpuasa tiga hari kemudian bersalawat tiga kali sebelum berbuka puasa. 

a.  Di ampunkan oleh Allah.
b.  Diberkatikan rezeki.
c.  Allah Ta’ala membukakan pada bulan ini tiga ratus pintu rahmat.

4.  Berpuasa pada hari Khamis pertama dan Khamis terakhir bulan Syaaban.

a.  Dosa yang telah lalu, diampunkan Allah.
b.  Akan dimasukkan ke dalam syurga.

5.  Berpuasa pada hari Isnin terakhir dalam bulan Sya’aban.

Diampunkan dosa oleh Allah SWT

6.  Berpuasa sebulan.

a.  Dimudahkan Allah akan saat mati,
b.  Terlepas dari kegelapan alam kubur,
c.  Bebas dari huru-hara Munkar dan Nankir,
d.  Allah menutupkan aib di hari kiamat,
e.  Diwajibkan masuk ke syurga.
 

Kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat banyak dan bermakna bagi hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan inilah peluang keemasan yang semestinya kita kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik dan mulia. Namun, janganlah pula kita melakukan amalan itu kerana ingin memperoleh ganjaran semata-mata, kerana keutamaan dalam beribadat ialah ikhlas mencari keredaan Allah SWT.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...