May 27, 2014

Salam isra' mi'raj



27 Rejab 1432 bersamaan 29 Jun 2011 merupakan ulang tahun tarikh penting dalam kalendar Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. Israk dan Mikraj Rasulullah SAW adalah perjalanan luar biasa mengandungi pelbagai rahsia dan pngajaran untuk dihayati umat manusia sepanjang zaman.

1. Sebelum Israk dan Mikraj
Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)
Sepanjang perjalanan (israk) itu,Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah.
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

a) Kaum yang sedang bercucuk-tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

b) Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan).

c) Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

d) Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

e) Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

f) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

g) Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

h) Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

i) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

j) Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

k) Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

l) Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

m) Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama:
Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua:
Nabi S.AW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa AS dan Nabi Yahya AS.

3. Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

4. Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

5. Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.

Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”.

Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim AS bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Rabbul-Arbab
lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat
Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj
Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu(daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam. (Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT. Allah SWT telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda SAW. Mafhum Firman Allah SWT : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.'' (Surah Al-Israa’: Ayat 1).


Wallahua’lam....

sumber

May 12, 2014

Happy Teacher's Day

 Happy teacher's day to all my teachers & all the teachers...Thank you so much for ur guidances.....May ALLAH shower u with all the blessings

May 08, 2014

Happy Mother's Day

Happy mother's day to my mom, me & all the mothers....


April 30, 2014

Qadha Puasa

Puasa Qadha adalah menggantikan puasa wajib yang telah ditinggalkan sama ada disengajakan mahupun tidak tanpa keuzuran. Puasa yang ditinggalkan wajib digantikan sebanyak hari yang ditinggalkan.

Allah SWT. dalam firman-Nya: “…Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain…” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Puasa ganti wajib dilakukan sekiranya seseorang itu membatalkan puasa Ramadhan, sama ada dengan sengaja ataupun tak sengaja. Namun, ada beberapa keadaan yang tidak mewajibkan untuk qadha puasa seperti orang yang baru masuk Islam, maka tak wajib mengganti puasa yang ditinggalkan semasa beliau masih kafir.. begitu juga seorang yang baru akil baligh, maka tak wajib mengganti puasa yang ditinggalkan masa belum baligh dsb.

Wajib menyegerakan puasa qadha yang ditinggalkan tanpa uzur dan haram melakukan puasa sunat termasuk puasa enam, selagi belum diqadha puasa yang ditinggalkan.

Puasa qadha boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari diharamkan berpuasa. Ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadhan yang baru. Jika qadha puasa hendak dikerjakan pada Syawal ia boleh dilakukan selepas 1 Syawal (Hari Raya Aidil Fitri).

Ibadat wajib jika ditinggalkan wajar diqadhakan segera sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri terhadap Allah. Sunat menyegerakan qadha puasa secara berturut-turut. Puasa qadha ini hendaklah dilakukan mengikut rukun dan syarat-syarat sebagaimana puasa biasa.

Wajib Qadha Puasa Sahaja
Orang yang meninggalkan puasa wajib dan mesti mengqadhakan puasanya sahaja ialah:
  1. Terlupa berniat.
  2. Sakit yang membahayakan.
  3. Pitam, pengsan, gila atau mabuk.
  4. Perempuan yang datang haid atau nifas.
  5. Sengaja berbuka atau jimak (bagi isteri saja).
  6. Ibu mengandung yang bimbangkan kesihatan dirinya.
  7. Menyusukan anak dan bimbang menjejaskan kesihatan sendiri.
  8. Orang yang berkerja berat sepanjang bulan puasa.
  9. Tersangat lapar dan dahaga yang membahayakan.
  10. Orang yang kembali dari bermusafir.
  11. Murtad.
Seseorang yang uzur syarie berterusan, seperti masih musafir atau sakitnya berterusan hingga tiada ruang mengqadhakan puasanya, diharuskan melewat qadha atas bilangan hari yang ditinggalkan sehingga ia sihat dan tenang serta tidak wajib membayar fidyah sekalipun telah melangkau beberapa Ramadhan.

Firman Allah Ta’ala :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Waktu Berniat Puasa Qadha
Waktu berniat puasa ganti ini adalah sama dengan waktu puasa Ramadhan iaitu pada waktu malam dan berakhir ketika masuk Subuh. Kalau berniat selepas Subuh, maka tidak sah puasa ganti itu. Keadaannya sama macam puasa Ramadhan.. cuma bezanya, kalau berjimak waktu puasa ganti tu, tidaklah dikenakan kifarah.

NIAT PUASA QADA
Niat merupakan keinginan untuk melakukan sesuatu ibadat, dan letaknya di hati. Jika anda berkeinginan melakukan qadha puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat. Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat.

Niat puasa ganti adalah lintasan hati nak berpuasa qadha esok hari kerana Allah Taala. Maka termasuk di situ sunat bersahur, sama macam puasa Ramadhan.. bezanya cuma pada niat.
Niat itu tidak semestinya menuntut kepada satu lafaz yang khusus, namun bagi meyakinkan diri dan memantapkan niat bolehlah dibaca lafaz niat menggantikan puasa di bawah.


LEWAT QADA
1. Sekiranya terlewat mengqadha puasa Ramadan, tanpa uzur syarie hingga tiba bulan Ramadhan tahun yang berikutnya, maka;
a.  Wajib mengqadha puasa mengikut bilangan hari yang tertinggal.
b.  Dan wajib membayar fidyah berupa secupak makanan asasi bagi satu hari
puasa yang ditinggalkan.

2.  Jika terlewat sehingga memasuki dua kali Ramadhan maka dendanya ditambah secupak lagi menjadikan dua cupak (2 fidyah) untuk 1 hari yang ditinggalkan, jika memasuki Ramadhan ketiga, menjadi 3 cupak dendanya dan begitulah untuk tahun-tahun seterusnya, di samping wajib mengqada puasa mengikut bilangan hari yang tertinggal sahaja.

3.  Sekiranya berasa ragu-ragu dengan bilangan puasa yang ditinggalkan, kiralah pada bilangan yang maksima kerana dalam beramal biarlah kita berbuat lebih. Jangan lakukan cukup makan saja, sebab setiap amalan yang kita laksanakan semuanya mendatangkan kebaikan dan manfaat.

QADHA PUASA WAJIB DAN SUNAT SERENTAKSesetengah ulama menjelaskan bahawa pahala puasa sunat diperolehi juga dengan niat seseorang yang berpuasa qadha atau berpuasa nazar. Seseorang yang melakukan sesuatu yang wajib pada waktu yang disunatkan, maka dengan sendirinya melayakkan seseorang itu mendapat pahala sunat.

1.  Puasa Qadha Dan Puasa 6
Melakukan puasa qadha yang hukumnya wajib boleh dilakukan pada bila-bila masa sebelum sampai Ramadhan tahun akan datang. Jika dilakukan dalam Syawal yang kebetulan ada fadilatnya, Allah SWT. akan memberikan lebih ganjaran kepadanya kerana mengambil fadilat dalam bulan berkenaan yang disunatkan berpuasa.

Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa Ramadhan kerana masalah keuzuran, sunat mengerjakan puasa enam walaupun masih mempunyai qadha. Keuzuran dibenarkan oleh syarak adalah seperti:
  1. Orang dalam perjalanan (musafir)
  2. Orang sakit
  3. Perempuan yang nifas
  4. Perempuan yang haid
Saidatina Aisyah berkata: “Dulu kami haid pada zaman Rasulullah SAW. Maka, kami diperintahkan mengqada puasa dan tidak diperintahkan mengqadha solat.”

Wanita yang kedatangan haid pada bulan Ramadhan, boleh mengqadhakan puasa di samping mendapat pahala puasa sunat enam Syawal. Caranya ialah dengan berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada dan sunat dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran serentak (iaitu ganjaran puasa qadha dan sunat).

Orang yang luput keseluruhan puasa Ramadhan selama sebulan kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia mengerjakan puasa qadha pada Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqadha puasa enam itu dalam Zulkaedah.

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja atau tanpa keuzuran, mereka diharam mengerjakan puasa enam pada Syawal kerana mereka diwajibkan menyegerakan qadha terlebih dahulu.

2.  Qadha Serentak
Mereka yang ketinggalan puasa Ramadhan kerana keuzuran yang dibenarkan syarak, harus mengqadha puasa Ramadhan serentak dengan puasa enam pada Syawal, namun begitu adalah lebih utama mengqadha dahulu sebelum melakukan puasa sunat.

Bagi keuzuran yang dibenarkan syarak, orang itu boleh melakukan qadha puasa Ramadhan sekali gus dengan puasa enam dalam bulan Syawal. Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha atau puasa nazar atau puasa kifarah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis atau hari ‘Asyura dan puasa sunat lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa itu, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha dan sunat seperti puasa hari Arafah atau puasa lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan wajib itu. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat atau puasa wajib, maka dia hanya akan mendapat pahala bagi puasa yang diniat itu sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib, katanya: “Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”

Walaupun menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, ganjarannya tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas.

Bagaimanapun, sikap menyegerakan qadha puasa itu sikap terpuji dan dituntut oleh syarak. Ini kerana ganjaran dan pahala ibadat itu hanya Allah yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...